[english]
 

Rancangan membina sebuah masjid di estet perumahan Yishun bermula pada awal tahun 80an. Penduduk Islam perintis di Yishun ketika itu hanya seramai lebih-kurang 102 orang sahaja. Dari kumpulan yang kecil itu dengan direstui oleh pihak Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), satu perhimpunan besar yang turut dihadiri oleh penduduk Islam sekitar Yishun iaitu daerah Naval Base Sembawang, Petempatan Melayu Sembawang (Kampung-kampung Tengah, Tanjong Irau, Wak Hassan dan Ahmad Ibrahim), Kampung Mandai Road dan Kampung Ayer Panas di Jalan Mata Ayer, telah memutuskan untuk membentuk sebuah Jawatankuasa Pembinaan Masjid (JPM) dan mengemukakan senarai calon ahlinya kepada pihak Muis.

Tanggal hari Ahad, 3 April 1983 merupakan hari yang bersejarah di mana satu majlis Penyampaian Tauliah di kolong Blok 111 Yishun Ring Road telah diadakan. Presiden Muis pada ketika itu, Tuan Hj Ismail Mohd Said, telah melantik secara rasmi seramai 31 orang sebagai ahli JPM di bawah pimpinan Allahyarham Hj (Cikgu) Mahat bin Abdul Samad.

Ketika itu juga wang sebanyak lebih dari $9,000 telah pun terkumpul untuk membuktikan kepada pihak Muis kesedian para penduduk Yishun menjalankan tugas berat membina masjid.
Pihak JPM terus mencari dana untuk melengkapkan alat-alat kemudahan dan hiasan dalaman masjid dengan menganjurkan pelbagai projek dan inisiatif seperti Derma Tetap Bulanan, Ceramah Dakwah, Jog-A-Walk, Jualan Amal dan kupon-kupon derma dan Perwakafan alat-alat kemudahan masjid. Surat-surat rayuan juga diedarkan kepada orang perseorangan, pertubuhan-pertubuhan, firma-firma, persatuan-persatuan dan badan-badan Islam. Tabung-tabung derma juga telah diletakkan di masjid-masjid sekitar Singapura sewaktu solat Jumaat.

Sambutan dan sokongan masyarakat amat menggalakkan. Antara hasil pungutan projek-projek tersebut termasuklah

• Jualan Amal Nasi Briyani - $40,000
• Surat Rayuan - $13,000
• Tabung Derma Solat Jumaat - $28,000
• Jog-A- Walk - $85,000
• Perwakafan - $30,000

Wang pampasan surau-surau kampung di sekitar Yishun yang dirobohkan kerana projek penempatan semula pemerintah juga telah diterima iaitu

• Surau Kg Tanjong Irau - $32,667.18
• Surau Jalan Mata Ayer - $8,688.34
• Surau Jalan Kemuning - $4,929.45

Senarai nama-nama masjid telah dicadangkan termasuk AI-Jannah, AI-Makmur, Assobirin, Faisah, AI-Bilal, AI-Muaasim, Aminin, AI-Syuhadah dan AI-Araf. Akhirnya nama Darul Makmur telah dipilih oleh Jawatankuasa Fatwa (Muis) sebagai nama rasmi bagi masjid baru di Yishun.

Alhamdulillah, berkat usaha, kerjasama dan sokongan JPM dan penduduk-penduduk Islam Yishun dan kawasan sekitarnya, Masjid Darul Makmur akhirnya siap dibina dan dirasmikan pada tanggal 25 Julai 1987. Solat Aidiladha 1407H merupakan solat yang pertama didirikan sejurus selepas siapnya Masjid.